Friday, September 21, 2007

Bangunkan laman web sendiri




TERDAPAT banyak penganjur laman web yang membenarkan anda membangun laman web sendiri. Anda boleh dapatkan senarai di http://dmoz.org/Computers/Internet/Web_Design_and_Development/Hosting/Free. Pilihlah kategori berkenaan dan bandingkan penyedia yang disenaraikan.Biasanya penganjur laman web percuma akan membataskan jalur lebar, kapasiti setoran cakera keras dan sebagainya.Setiap penganjur itu juga mempunyai alat pembangunan yang berbeza terutamanya untuk memindah naik fail-fail html anda.Oleh itu, carilah pembekal yang memiliki alat pembangunan yang mudah. Anda boleh juga menggunakan laman blog untuk membangunkan laman web anda. Antara laman blog yang boleh anda cuba ialah Blogger (http://blogspot.com), WordPress (http://wordpress.com), MSN spaces (http://spaces.msn.com) dan LiveJournal (http://livejournal.com).Laman blog ini biasanya mengkehendaki anda mendaftar sebelum boleh membangunkan laman. Kebanyakan laman blog mempunyai acuan atau reka letak yang sudah tersedia untuk dipilih.Sementara IM atau Instant Messenger adalah khidmat yang disediakan oleh pembekal email seperti Yahoo! Mail, Google Mail dan Hotmail. Jika sudah mempunyai alamat e-mel dengan pembekal tersebut, anda hanya perlu pindah turun perisian aplikasi untuk memulakan perbualan.Sebagai contoh, andaikan anda sudah mempunyai alamat e-mel dengan yahoo.com. Anda hanya perlu masuk ke http://im.yahoo.com dan pindah turun aplikasi Yahoo Messenger. Dwiklik dan ikuti langkah yang dibentangkan.Selesai pemasangan, anda boleh log masuk menggunakan alamat e-mel Yahoo! yang ada.

Revolusi Internet sukar dikawal



Mana-mana kerajaan yang cuba menghalang kebebasan bersuara dan mengenakan cukai ke atas perdagangan elektronik yang digagaskan oleh Internet hanyalah membuang masa mereka sahaja, kata para pakar. Rangkaian global komputer peribadi yang disambungkan menerusi talian telefon membolehkan orang biasa untuk berkomunikasi dengan bebas melangkaui sempadan antarabangsa, malah lazimnya buat pertama kali.
Mereka boleh mendapatkan idea daripada seluruh pelosok dunia dan mencari barangan paling murah menerusi Internet, yang satu hari nanti boleh dibeli tanpa perlu membayar cukai. Prospek hebat untuk orang biasa ini bagaimanapun lazimnya dianggap sebagai omongan kosong oleh kerajaan. Walaupun kerajaan mungkin tidak tergerak untuk menghalang kebebasan bersuara, mereka akan menunjukkan minat besar apabila diancam dengan kemungkinan akan kehilangan pendapatan daripada cukai.
Mungkin tiada sebarang tindakan yang mereka boleh lakukan mengenai isu ini. Pakar-pakar berkata sebarang cubaan untuk mengawal trafik di Internet akan menemui kegagalan.
Pertumbuhan penggunaan komputer peribadi dan Internet amatlah memberangsangkan. Firma penyelidikan teknologi tinggi IDG berkata menjelang tahun 2000, lebih satu bilion orang di seluruh dunia akan menggunakan PC, melonjak daripada 450 juta pada tahun 1996. Dalam satu laporan lain, firma penyelidikan British Datamonitor berkata 38 juta rumah di Eropah dijangka boleh menyambungkan komputer mereka dengan modem ke Internet menjelang tahun 2001.
Tren ini akan menjadikan pelayaran untuk maklumat yang tidak boleh disekat dan pembangunan beransur-ansur ke arah perdagangan elektronik, di mana pengguna mengemaskinikan akaun bank mereka, membuat tempahan percutian, memilih filem dan membeli belah melalui komputer di rumah. Kesemua ini dianggap berlaku jika pembuat PC boleh mengeluarkan produk yang mudah bagi orang biasa, dan syarikat pembekal talian telefon mampu memenuhi permintaan untuk talian mereka.
Dr Bob Glass, pakar teknologi Sun Microsystems Inc berkata sebarang usaha oleh kerajaan untuk menghalang ini semua hanyalah membuang masa sahaja. Komputer yang paling berkuasa sekalipun tidak akan mampu meronda talian telefon di seluruh dunia dengan berkesan. Pakar-pakar komputer persendirian akan sentiasa berada di hadapan kerajaan.
"Singapura telah cuba untuk menghadkannya. Apabila seseorang mendail, mereka hanya boleh mendapatkan tajuk utama takap-tapak Web. Tetapi pengguna boleh memanggil pelayan Internet yang lain di luar negara," kata Glass. "Situasi yang sama juga berlaku di China. Kesemua trafik Internet disalurkan menerusi Beijing University yang hanya membolehkan akses kepada kandungan yang dibenarkan oleh kerajaan. Tetapi mereka boleh membuat panggilan ke Taiwan untuk mendapatkan maklumat yang mereka kehendaki," kata Glass.
Glass, pakar psikologi dan pengarah Teknologi Strategik di SunSoft, subsidiari Sun Microsystems di Menlo Park, California, berkata pembangunan teknikal mampu menggagalkan sebarang cubaan mana-mana kerajaan untuk mengawal Internet. "Mereka boleh cuba mengawal sistem telefon dengan superkomputer, tetapi apabila satelit orbit rendah boleh memberikan perkhidmatan telefon terus kepada pengguna, tiada komputer yang akan mampu mengesannya," kata Glass.
Walapun usaha mereka itu dijangka tidak akan berjaya, ia tidak akan menghalang kerajaan daripada cuba menjinakkan Internet. Malah telah muncul andaian bahawa "cukai bait (byte tax)" mungkin akan memberikan cara untuk menjana pendapatan daripada aktiviti Internet. "Jika perdagangan elektronik mula menghakis pendapatan cukai, kita akan melihat usaha untuk cuba mengenakan cukai. Kita telah lihat cadangan seperti itu di Kesatuan Eropah (EU) ke atas aliran kalumat di Internet," kata Profesor Alan Cawson di Science Policy Research Unit di Sussex University di selatan England.
Cawson berkata ia agak sukar untuk dilaksanakan. "Kita perlu mengawasi keseluruhan sistem telefon. Ia akan menjadi satu permainan, seperti pengelakan cukai, di mana sentiasa akan terdapat kelemahan yang boleh dimanipulasi dan akhirnya kita akan dihadapkan dengan pertarungan teknologi," kata Cawson.
Profesor Patrick Purcell dari Imperial College di London menganggap Internet sebagai fenomena amat pervasif dalam telekomunikasi antarabangsa, keselamatan negara dan perdagangan antarabangsa. Beliau bimbang kebebasan Internet akan dihakis. "Internet boleh didapati di seluruh dunia dan tidak terkongkong oleh keuntungan komersial. Jika tempoh pembangunan akan datang menbawa kepada kawalan lebih ketat, ia merupakan situasi yang mengecewakan," kata Purcell.Bagaimanapun menurut pengarah penyelidikan Gartner Group Anne-Marie Roussel, Purcell tidak perlu risau lagi.
"Kami tidak percaya dengan senario utopia, dengan Interent menyelesaikan semua masalah dunia dan membawa kedamaian. Tiada teori monolithic backlash, di mana kerajaan menutup pintu kawalan sempadannya. Kita tidak percaya dengan itu," kata Roussel. "Ia lebih merupakan jalan pertengahan, di mana orang akan secara beransur-ansur mula menggunakan Internet untuk kepentingan mereka dengan cara mereka sendiri. Setakat ini hanya kalangan perniagaan menggunakannya, tidak lama lagi ia pengguna di rumah akan menggunakannya, membeli belah dari rumah mereka, manakala anak-anak merka akan mendapat akses ke Internet.
"Kami melihat Internet sebagai satu revolusi yang sedang berkembang dan sesuatu yang tidak boleh dihalang," kata Roussel. Ini dipersetujui oleh Glass. "Kerajaan sebenarnya tidak sedar mengenai magnitude pertukaran wang di Web, dan sebenarnya mereka pun tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya."
Rencana asal oleh NEIL WINTON, Reuters. Dipetik dari Utusan Megabait (1997)

EVOLUSI KOMPUTER




EVOLUSI KOMPUTER

Sejarah perkembangan komputer secara elektronik sepenuhnya telah dikatakan bermula selepas tahun 1940 (Shaharuddin Salleh : Pengenalan Kepada Komputer). Ia dapat dibahagikan mengikut tarikh anggaran dan 5 generasi evolusinya :

Generasi Pertama (1940-1959)
Generasi Kedua (1959-1964)
Generasi Ketiga (1964-1980)
Generasi Keempat (1980 - Sekarang)
Generasi Kelima (Masa Depan)

GENERASI PERTAMA

Komputer awalan 40-an dikatakan merupakan projek kententeraan Amerika Syarikat. Ianya dikatakan diguna bagi menggantikan alat-alat pengiraan trajektori agar pantas dan tepat yang sebelum ini sering melakukan kesilapan. Saiznya amat besar dan dikelaskan sebagai Kerangka Utama (Mainframe).

Ia menggunakan tiub-tiub vakum bagi tujuan pemprosesan dan penyimpanan maklumat. Tiub vakum berukuran seperti mentol kecil. Ia cepat menjadi panas dan mudah terbakar. Jumlah tiub vakum yang diperlukan agar tidak menjejaskan operasi komputer adalah amat banyak sehingga mencapai ribuan unit. Ia juga memerlukan penggunaan elektrik yang amat banyak sehingga menggangu kelancaran arus elektrik di kawasan sekeliling.


Tiub Vakum ENIAC
Dalam tahun 1946, komputer elektronik digital yang pertama iaitu ENIAC (Electronic Integrator And Calculator) telah dicipta oleh Dr. John Mauchly dan Presper Eckert. Ia mengambil keluasan sebanyak 140 meter persegi, berat yang mencapai 30 ton, 130 Kilowatt tenaga dan menggunakan 18000 unit tiub vakum. Ia mempunyai keupayaan melakukan 5000 pencampuran dan 300 pendaraban sesaat mengatasi komputer-komputer lain (analog). Ia mempunyai ingatan yang disimpan diluar komputer dengan menggunakan suis dan wayar. ENIAC hanya digunakan oleh ahli sains dan jurutera terlatih sahaja.

Penyimpanan ingatan di dalam komputer atau lebih dikenali sebagai Konsep Aturcara Tersimpan (Stored Program Concept) telah dicadangkan oleh John Von Neumann yang menggunakan nombor binari (0 dan 1) bagi melakukan tugas pemprosesan dan storan.

EDSAC (Electronic Delay Storage Automation Calculator) telah menggunakan raksa yang dimasukkan di dalam tiub bagi menggantikan tiub vakum untuk penyimpanan ingatan. Ia lebih ekonomi namun terlalu mahal. EDSAC dimajukan oleh Cambridge University, England. Ia adalah komputer pertama yang menggunakan konsep aturcara tersimpan.

Dr. John Mauchly dan Presper Eckert juga telah membantu pembinaan komputer EDVAC (Electronic Discrete Variable Automatic Computer). Ia lebih cekap dari ENIAC dan mengurangkan penggunaan tiub vakum. EDVAC menggunakan sistem nombor binari dan konsep aturcara tersimpan. UNIVAC1 (Universal Automatic Calculator) yang juga ciptaan Dr. John Mauchly dan Presper Eckert telah dikeluarkan untuk memproses data perniagaan pada tahun 1951 bagi menggantikan komputer-komputer yang sebelum ini hanya digunakan bagi tujuan pengiraan. Ia menggunakan raksa untuk storan dan digunakan oleh Biro Banci Penduduk, Amerika Syarikat.








GENERASI KEDUA

Dalam generasi ini, komputer mula menggunakan transistor dan diod bagi menggantikan tiub-tiub vakum. Ia telah menjadi lebih kecil dan murah. Transistor tidak mudah terbakar berbanding dengan tiub vakum. Teras magnetik diperkenalkan untuk tujuan menyimpan ingatan. Teras magnetik menggunakan besi-besi halus yang dililit oleh litaran elektrik. Keupayaan pemprosesan serta saiz ingatan utama komputer juga bertambah besar. Ini menjadikan komputer lebih pantas menjalankan arahan.

Bahasa peringkat tinggi iaitu FOTRAN dan COBOL diperkenalkan bagi menggantikan pengaturcaraan dalam bahasa mesin yang sukar. Ia menjadikan pengendalian komputer lebih mudah. Permintaan komputer bagi tujuan pemprosesan data dalam bidang perniagaan mula meningkat. Masyarakat mula menerima komputer dan kerjaya dalam bidang komputer mula mendapat tempat. Universiti mula memperkenalkan pengajian sains komputer untuk melatih kakitangan mahir.

Famili kedua terbesar dalam kategori komputer iaitu Minikomputer mula dihasilkan. Harganya lebih murah berbanding dengan kerangka utama (Mainframe). Ia menggalakkan lagi penggunaan komputer dalam bidang perniagaan. DEC PDP-8 adalah komputer mini yang pertama dihasilkan dalam tahun 1964 yang kemudiannya dituruti oleh IBM (International Business Machine) dengan komputer mini mereka, 7090 dan 7094.











GENERASI KETIGA

IBM memulakan evolusi generasi ini dengan menghasilkan sebuah Kerangka Utama iaitu System/360. Ia mengandungi segala peralatan bagi tujuan pengaturcaraan. Ia dapat diguna dalam pelbagai tujuan samada sains, perniagaan atau lain-lain. IBM mula memonopoli industri pembuatan komputer. IBM System/360 ini memperkenalkan banyak ciri-ciri baru termasuklah penggunaan Sistem Pengoperasian (Operating System). Ia juga mengandungi stesen-stesen secara berasingan dan dikawal oleh sistem induk. Ia juga memperkenalkan Sistem Perkongsian Masa (Time Sharing). Melalui sistem ini, kesemua stesen-stesen mampu melakukan proses serentak.

Melalui penyelidikan mikroelektronik, transistor telah dapat dikecilkan kepada saiz mikroskopik. Beribu-ribu unit transistor dipadatkan di dalam kepingan silikon melalui proses Pengamiran Skala Besar (Large Scale Integration atau LSI) untuk menghasilkan litar terkamir atau lebih dikenali dengan cip. Cip mula menggantikan tansistor sebagai bahan logik komputer. Saiz cip yang kecil telah menjadikannya popular dan ia telah digunakan di dalam kebanyakkan alatan elektronik. Harganya yang murah menyebabkan banyak alatan elektronik jatuh harga dan kemunculan revolusi perindustrian kedua bermula.

Mikrokomputer, jenis terkecil dalam famili komputer mula muncul. Ia cepat popular kerana saiznya yang kecil, harga yang murah dan kebolehannya beroperasi secara sendirian. Ia mampu mengatasi ENIAC di dalam sesuatu tugas. Antara jenama-jenamanya terkenal seperti Apple II, IBM PC, NEC PC dan Sinclair. Ia mula digunakan dalam pemprosesan data perniagaan yang kecil. Banyak lagi bahasa pengaturcaraan muncul seperti BASIC, Pascal, C, Logo dan PL/1.

Mikrokomputer dibekalkan dengan cip ROM (Read Only Memory) secara bina-dalam (Built In) bagi membolehkan bahasa BASIC digunakan. BASIC mula popular sebagai bahasa pengaturcaraan. Perisian-perisian penggunaan bina-siap (ready made) mula digunakan bagi menyelesaikan sesuatu masaalah. Bidang pengaturcaraan mula menjadi antara bidang pekerjaan yang menawarkan gaji yang amat tinggi.

GENERASI KEEMPAT

Kita dikatakan sedang berada di dalam zaman peralihan dari generasi ketiga kepada generasi keempat. Di dalam generasi ini, cip masih lagi digunakan sebagai tempat penyimpanan ingatan. Walaupun begitu, ia telah menjadi lebih maju sehingga beratus ribu transistor telah dimampatkan ke dalamnya. Proses ini dipanggil Pengamiran Skala Amat Besar (Very Large Scale Integration atau VLSI).

Pemprosesan menjadi amat pantas sehingga berjuta bit sesaat. Ia juga telah memunculkan satu lagi kelas komputer yang dipanggil Superkomputer (SuperComputer) seperti Cray 1 yang kemudian dimajukan lagi seperti Cray XMP. Superkomputer menggunakan beberapa pemproses selari (parallel processor) yang berfungsi serentak. Ia banyak digunakan bagi membantu dalam kajian cuaca, senjata peperangan dan sistem kawalan pengkalan data yang amat besar.

Mikrokomputer juga menjadi lebih maju dengan mempunyai keupayaan ingatan sehingga 64 juta bait. Ia juga telah melahirkan beberapa jenis mikrokomputer yang lebih kecil seperti Komputer Buku (Laptop atau Notebook) yang mana saiznya hampir sama dengan sebuah buku rujukan. Mikrokomputer yang lebih kecil dari itu juga telah dilahirkan iaitu Komputer Tangan (Palmtop). Kepantasannya juga telah bertambah dari masa ke semasa.

Mikrokomputer juga telah dilengkapkan dengan peralatan 'multimedia' yang mampu menayangkan filem dan bunyi. Storan sekunder yang mempunyai kapasiti yang lebih besar diperlukan bagi menampung jumlah simpanan data yang makin bertambah. Komputer juga telah menjadi sesuatu yang biasa digunakan di pejabat ataupun dirumah bagi kerja-kerja seharian. Sistem Rangkaian Kawasan Setempat (Local Area Network), Sistem Rangkaian Kawasan Luas (Wide Area Network) dan Sistem Rangkaian Antarabangsa (International Network) juga telah dihasilkan. Ia telah menjadikan komunikasi dalam komputer lebih canggih di mana kita boleh masuk ke hubungan antarabangsa hanya dari komputer di rumah !.

Perisian-perisian bina-siap (ready made) telah menjadi suatu kemestian. Perisan-perisian bina-ubah (tailor made) juga diperkenalkan bagi membantu menyelesaikan sesuatu masaalah. Komputer menjadi lebih bijak dengan terciptanya perisian-perisian yang mampu membezakan pengguna dengan melihat pada corak dan warna Iris mata.



GENERASI KELIMA

Evolusi generasi kelima masih belum wujud. Ia hanya merupakan suatu impian masa depan. Walaupun begitu, projek-projek perintis untuk jangka panjang telahpun dimulakan seperti projek bandar pintar atau lebih dikenali sebagai Multimedia Super Corridor oleh Malaysia. Komputer dijangkakan lebih kompleks dengan ingatan yang berlipat kali ganda Terabait. Sistem pintar yang dipanggil 'Artificial Intelligence' akan mengambil alih tugas-tugas yang membahayakan atau memerlukan ketepatan yang lebih dari manusia.

Jabatan ketenteraan Amerika Syarikat juga telah mula merancang penggunaan robot di dalam peperangan, projek ini dikenali dengan nama 'Star Wars' ia juga menggunakan sepenuhnya penggunaan satelit. Robot-robot juga dijangka menggantikan manusia dalam kerja-kerja pengilangan seperti industri pembuatan kereta. Kad-kad pintar juga akan menggantikan semua dokumen-dokumen atau akaun bank pengguna. Di dalamnya mengandungi pelbagai informasi tentang pengguna tersebut.

Bahasa pengaturcaraan menjadi amat penting, dengan baris-baris arahan pengaturcaraan Pascal contohnya, kita dapat mengarahkan robot memilih di antara buah limau dengan buah epal menerusi arahan suara yang diberikan kepadanya !. Komputer juga dijangka menjadi suatu bentuk komunikasi yang canggih. Penggunaan 'video conference' dijangka akan digunakan sepenuhnya. Bandaraya pintar juga dijangka akan wujud di segenap negara.

Langkah-langkah Pengkomputeran Di Syarikat




Pengkomputeran di syarikat adalah suatu langkah bijak yang sepatutnya diambil oleh syarikat bagi menjamin ia mampu bersaing dengan badan-badan korporat lain seiring dengan wawasan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohammad di alaf 2020.
Walaubagaimanapun, ia memerlukan kajian yang teliti dan langkah-langkah yang bertepatan. Beberapa langkah yang perlu diambil bagi memastikan rancangan pengkomputeran ini menjadi suatu kenyataan ialah :
1.0 CADANGAN
Cadangan selalunya bermula dari idea untuk mewujudkan suatu sistem pengkomputeran dan ianya akan dibawa kedalam mesyuarat pengurusan atau mesyuarat lembaga atau sesetengah syarikat memerlukan ia dibawa ke dalam mesyuarat Agong tahunan. Terlebih dahulu wakil bagi membentangkan cadangan tersebut perlu bersedia dengan idea-idea awal atau ‘rough idea’ apakah yang hendak dilakukan, keperluan pengkomputeran spesifikasi sistem yang hendak dibeli dan sebagainya. Seterusnya lembaga akan melantik Jawatankuasa Pemandu bagi mengkaji tujuan dan melaksanakan dasar-dasar perlaksanaan sistem yang bertanggungjawab untuk :
a) Menentukan keutamaan applikasi selaras dengan dasar.b) Mengenal pasti dan menyediakan keperluan bagi menrealitikan projek pengkomputeran. c) Menggesa kemajuan perlaksanaan. d) Melantik pasukan professional bagi mengkaji sistem. e) Menentukan polisi yang berkaitan. f) Menyelaras proses pengkomputeran.
Jawatankuasa ini pula akan melantik suatu jawatankuasa kecil yang dipanggil Jawatankuasa Teknikal bagi mengkaji keperluan sistem. Mereka ini terdiri dari ahli lembaga, pengurus atau pegawai pengurusan dan professional teknologi maklumat.
2.0 KAJIAN AWAL
Kajian awal perlu dilakukan bagi melancarkan proses pengkomputeran. Antara kajian-kajian yang perlu dibuat adalah :
a) Mengenalpasti kelemahan dan masaalah sistem sekarang (jika ada). b) Mengenalpasti usaha-usaha yang telah dilaksanakan. c) Tugas baru atau kerja-kerja yang amat memerlukan penggunaan komputer d) Faedah dan hasil dari penggunaan komputer. e) Fungsi-fungsi atau modul-modul yang perlu dikomputerkan.f) Kos permulaan dan penyelengaraan.
Setelah kajian awal ini siap Kajian Kemungkinan pula perlu dibuat ;a) Membuat penilaian tentang faedah yang boleh didapati dari pengkomputeran.b) Memastikan keputusan yang betul dibuat. c) Tugas-tugas yang akan dilakukan oleh komputer. d) Memastikan spesifikasi perkakasan dan perisian.
3.0 TINDAKAN LANJUT
Setelah semua kajian dibuat, beberapa perkara perlu dibuat tindakan lanjutan, antaranya :
a) Latihan terhadap kakitangan b) Sumber-sumber kewangan untuk membiayai projek pengkomputeran tersebut. c) Spesifikasi tender yang perlu dikeluarkan atau diiklankan. Jawatakuasa Tender perlu ditubuhkan. Mereka bertanggungjawab bagi memproses tender-tender yang diterima. Jawatankuasa Kewangan Tender pula bertujuan mengkaji harga sistem yang ditawarkan. Kesemua laporan hendaklah dibawa ke Mesyuarat Lembaga Tender. d) Tempat dimana komputer-komputer akan ditempatkan. e) Data-data perlu dikemaskini agar tidak berlaku ‘garbage in – garbage out’.
4.0 LETTER OF INTENT
‘Letter Of Intent’ atau surat jemputan hendaklah dihantar kepada syarikat-syarikat yang terpilih. Syarikat-syarikat ini perlu membuat demonstrasi dan menerangkan keupayaan sistem mereka. Kesemua ahli lembaga Jawatakuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal perlu dijemput bagi memastikan hanya syarikat yang menawarkan sistem terbaik beserta dengan harga yang berpatutan diterima.
5.0 PERJANJIAN
Setelah syarikat dipilih, perjanjian jual-beli dan penyelengaraan sistem akan dibuat. Perjanjian selalunya ditandatangani oleh Pengerusi Syarikat atau wakil syarikat dengan wakil pembekal. Pastikan perjanjian tidak berat sebelah atau berpihak kepada syarikat pembekal. Ketika ini juga proses pembayaran akan bermula. Pembayaran selalunya terbahagi kepada 4 bahagian :
a) Ketika menandatangani perjanjian. (10%) b) Ketika penghantaran. (30%) c) Penerimaan Bersyarat (30%)d) Penerimaan Akhir. (30%)
6.0 PERLAKSANAAN
Projek pengkomputeran selalunya mempunyai tiga jenis cara perlaksanaan ;a) System Intergrator (Turn Key) Syarikat akan membeli peralatan dan perisian dari luar dan hanya memasangkannya di syarikat.
b) In House Syarikat hanya membeli perkakasan dari pemenang tender manakala applikasi akan ditulis sendiri oleh professional Teknologi Maklumat syarikat.
c) System House Pemenang tender akan menulis applikasi manakala perkakasan akan dibeli dari syarikat lain.
7.0 PERHATIAN
Beberapa perkara perlu dititik beratkan oleh syarikat ketika melaksanakan proses akhir ini (perlaksanaan) iaitu :
a) Latihan kepada kakitanganSepatutnya pembekal akan menyediakan latihan samada perisian, applikasi atau perkakasan.
b) Penerimaan Bersyarat Kesemua sistem perlu diuji sebelum membuat pembayaran. Surat-surat penerimaan dan pembayaran juga perlu diteliti.
c) Conversion / PeralihanSemasa peralihan terdapat beberapa teknik :i) Parallel Runii) Pilot Runiii) Change Over - Teknik yang paling popular iaitu menukarkan sistem secara langkah demi langkah (step by step).iv) Direct Change Over - Terus menukar kesemua sistem.
d) Audit data Data perlu disemak dan diaudit agar ianya tepat dan segala ‘key-in error’ dan ketidaktepatan data dapat dihapuskan.e) Lain-lain
Teknik-teknik penyelengaraan juga mesti dikenalpasti agar tidak membebankan syarikat. Tempoh jaminan sistem juga perlu diambil berat , selalunya ianya tidak kurang dari 3 tahun.
8.0 KEFAHAMAN
Langkah-langkah mengkomputerkan syarikat adalah agak sukar. Kebanyakan syarikat-syarikat kecil tidak mempunyai keupayaan atau pengetahuan ini. Syarikat-syarikat yang menghadapi masaalah untuk mendapatkan professional atau consultant bagi menasihatkan teknik-teknik projek pengkomputeran ini bolehlah mendapatkan nasihat dari www.putera.com/tanya
By Nor Arisham Haji Bakar