Friday, September 21, 2007

Revolusi Internet sukar dikawal



Mana-mana kerajaan yang cuba menghalang kebebasan bersuara dan mengenakan cukai ke atas perdagangan elektronik yang digagaskan oleh Internet hanyalah membuang masa mereka sahaja, kata para pakar. Rangkaian global komputer peribadi yang disambungkan menerusi talian telefon membolehkan orang biasa untuk berkomunikasi dengan bebas melangkaui sempadan antarabangsa, malah lazimnya buat pertama kali.
Mereka boleh mendapatkan idea daripada seluruh pelosok dunia dan mencari barangan paling murah menerusi Internet, yang satu hari nanti boleh dibeli tanpa perlu membayar cukai. Prospek hebat untuk orang biasa ini bagaimanapun lazimnya dianggap sebagai omongan kosong oleh kerajaan. Walaupun kerajaan mungkin tidak tergerak untuk menghalang kebebasan bersuara, mereka akan menunjukkan minat besar apabila diancam dengan kemungkinan akan kehilangan pendapatan daripada cukai.
Mungkin tiada sebarang tindakan yang mereka boleh lakukan mengenai isu ini. Pakar-pakar berkata sebarang cubaan untuk mengawal trafik di Internet akan menemui kegagalan.
Pertumbuhan penggunaan komputer peribadi dan Internet amatlah memberangsangkan. Firma penyelidikan teknologi tinggi IDG berkata menjelang tahun 2000, lebih satu bilion orang di seluruh dunia akan menggunakan PC, melonjak daripada 450 juta pada tahun 1996. Dalam satu laporan lain, firma penyelidikan British Datamonitor berkata 38 juta rumah di Eropah dijangka boleh menyambungkan komputer mereka dengan modem ke Internet menjelang tahun 2001.
Tren ini akan menjadikan pelayaran untuk maklumat yang tidak boleh disekat dan pembangunan beransur-ansur ke arah perdagangan elektronik, di mana pengguna mengemaskinikan akaun bank mereka, membuat tempahan percutian, memilih filem dan membeli belah melalui komputer di rumah. Kesemua ini dianggap berlaku jika pembuat PC boleh mengeluarkan produk yang mudah bagi orang biasa, dan syarikat pembekal talian telefon mampu memenuhi permintaan untuk talian mereka.
Dr Bob Glass, pakar teknologi Sun Microsystems Inc berkata sebarang usaha oleh kerajaan untuk menghalang ini semua hanyalah membuang masa sahaja. Komputer yang paling berkuasa sekalipun tidak akan mampu meronda talian telefon di seluruh dunia dengan berkesan. Pakar-pakar komputer persendirian akan sentiasa berada di hadapan kerajaan.
"Singapura telah cuba untuk menghadkannya. Apabila seseorang mendail, mereka hanya boleh mendapatkan tajuk utama takap-tapak Web. Tetapi pengguna boleh memanggil pelayan Internet yang lain di luar negara," kata Glass. "Situasi yang sama juga berlaku di China. Kesemua trafik Internet disalurkan menerusi Beijing University yang hanya membolehkan akses kepada kandungan yang dibenarkan oleh kerajaan. Tetapi mereka boleh membuat panggilan ke Taiwan untuk mendapatkan maklumat yang mereka kehendaki," kata Glass.
Glass, pakar psikologi dan pengarah Teknologi Strategik di SunSoft, subsidiari Sun Microsystems di Menlo Park, California, berkata pembangunan teknikal mampu menggagalkan sebarang cubaan mana-mana kerajaan untuk mengawal Internet. "Mereka boleh cuba mengawal sistem telefon dengan superkomputer, tetapi apabila satelit orbit rendah boleh memberikan perkhidmatan telefon terus kepada pengguna, tiada komputer yang akan mampu mengesannya," kata Glass.
Walapun usaha mereka itu dijangka tidak akan berjaya, ia tidak akan menghalang kerajaan daripada cuba menjinakkan Internet. Malah telah muncul andaian bahawa "cukai bait (byte tax)" mungkin akan memberikan cara untuk menjana pendapatan daripada aktiviti Internet. "Jika perdagangan elektronik mula menghakis pendapatan cukai, kita akan melihat usaha untuk cuba mengenakan cukai. Kita telah lihat cadangan seperti itu di Kesatuan Eropah (EU) ke atas aliran kalumat di Internet," kata Profesor Alan Cawson di Science Policy Research Unit di Sussex University di selatan England.
Cawson berkata ia agak sukar untuk dilaksanakan. "Kita perlu mengawasi keseluruhan sistem telefon. Ia akan menjadi satu permainan, seperti pengelakan cukai, di mana sentiasa akan terdapat kelemahan yang boleh dimanipulasi dan akhirnya kita akan dihadapkan dengan pertarungan teknologi," kata Cawson.
Profesor Patrick Purcell dari Imperial College di London menganggap Internet sebagai fenomena amat pervasif dalam telekomunikasi antarabangsa, keselamatan negara dan perdagangan antarabangsa. Beliau bimbang kebebasan Internet akan dihakis. "Internet boleh didapati di seluruh dunia dan tidak terkongkong oleh keuntungan komersial. Jika tempoh pembangunan akan datang menbawa kepada kawalan lebih ketat, ia merupakan situasi yang mengecewakan," kata Purcell.Bagaimanapun menurut pengarah penyelidikan Gartner Group Anne-Marie Roussel, Purcell tidak perlu risau lagi.
"Kami tidak percaya dengan senario utopia, dengan Interent menyelesaikan semua masalah dunia dan membawa kedamaian. Tiada teori monolithic backlash, di mana kerajaan menutup pintu kawalan sempadannya. Kita tidak percaya dengan itu," kata Roussel. "Ia lebih merupakan jalan pertengahan, di mana orang akan secara beransur-ansur mula menggunakan Internet untuk kepentingan mereka dengan cara mereka sendiri. Setakat ini hanya kalangan perniagaan menggunakannya, tidak lama lagi ia pengguna di rumah akan menggunakannya, membeli belah dari rumah mereka, manakala anak-anak merka akan mendapat akses ke Internet.
"Kami melihat Internet sebagai satu revolusi yang sedang berkembang dan sesuatu yang tidak boleh dihalang," kata Roussel. Ini dipersetujui oleh Glass. "Kerajaan sebenarnya tidak sedar mengenai magnitude pertukaran wang di Web, dan sebenarnya mereka pun tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya."
Rencana asal oleh NEIL WINTON, Reuters. Dipetik dari Utusan Megabait (1997)

No comments: