Monday, July 30, 2007

Gajet: Sistem operasi mesti sesuai

Gajet: Sistem operasi mesti sesuai



Komponen, apikasi tambah nilai boleh dilakukan ikut keperluan masing-masing




DALAM edisi terakhir membina komputer peribadi (pc) sendiri, gajet akan mengetengahkan kaedah pemasangan beberapa komponen asas lain dalam penyediaan komputer peribadi lengkap untuk pengguna.

Apabila setiap komponen asas sudah dipasang dan disambungkan pada papan induk, ia disusuli dengan pemasangan sistem operasi pengguna yang akan membantu pemilik pc untuk menggunakan komputer baru bagi menepati tujuan masing-masing.

Untuk gajet minggu ini, aktiviti pemasangan akan dimulakan dengan memasukkan pemacu cakera keras (cd)/DVD-ROM ke dalam ruangan yang disediakan sebelum ia dipasang pada posisi yang disediakan bagi penyambungan pada kabel IDE kepada pemacu sambungan IDE.

Pastikan kabel pin 1 disambungkan kepada pemacu pin 1 penyambung IDE; iaitu apabila pin 1 itu boleh dikenali menerusi paparan jalur merah atau merah jambu di bahagian hubung kabel IDE terbabit.

Di bahagian hujung kabel IDE bertentangan pula, ia perlu disambungkan kepada soket IDE pada papan induk pc itu. Soket IDE boleh dijadikan soket utama atau kedua bergantung kepada pemilihan soket yang diingini.

Sekiranya pemacu cakera keras digunakan sebagai soket IDE utama, ini bermakna soket IDE kedua bebas untuk digunakan dan soket IDE kedua seharusnya digunakan untuk cd/dvd-rom.

Komponen seterusnya yang perlu dipasang adalah kad grafik, apabila ia seharusnya ditempatkan pada slot kad AGP papan induk iaitu di bahagian atas slot terbabit dengan menekannya secara perlahan.

Kebanyakan kad grafik moden adalah berasaskan AGP dan disambungkan pada papan induk bus AGP apabila slotnya sering kali ditampilkan dengan warna coklat.

Sekiranya kad itu berjaya ditempatkan di ruangan yang disediakan, anda hanya perlu mengikatnya dengan skru yang disediakan pada plat besi di bahagian depan kad grafik itu pada casing ATX.

Seterusnya, anda perlu memasangkan kad untuk audio yang direka menepati antara muka PCI dan seterusnya disambung pada slot papan induk PCI.

Seperti kaedah pemasangan kad grafik yang dilakukan sebelumnya, kini, anda hanya perlu menekan kad untuk bunyian dengan perlahan di kedudukan yang ditetapkan sebelum ia dipasangkan (skru) pada casing.

Kemudian, anda perlu memasukkan kabel audio di dalam soket ‘CD-IN’ manakala penghujung kabel bertentangan perlu disambungkan kepada soket audio keluar pada pemacu cakera keras atau DVD-ROM

Bagi pemasangan komponen seterusnya, anda perlu memastikan terdapat slot PCI yang belum digunakan pada papan induk bagi membolehkan aktiviti pemasangan kad modem dilakukan seperti mana kaedah pemasangan kad grafik dan bunyian dilaksanakan sebelumnya.

Pemilihan kad modem adalah berasaskan modem PCI bagi membolehkan aktiviti pemasangan (skru) kad lain pada casing berjalan lancar.

Kepada pemilik pc yang mahu menambah pelbagai perkakasan lain, kaedah pemasangannya adalah mudah, namun anda perlu memastikan terdapat ruangan kosong di slot papan induk komputer.

Selepas pc yang sudah berjaya dipasang ditutup dengan cermat, kini anda hanya perlu menyambung kelengkapan lain seperti monitor, tetikus dan papan kekunci pada sistem komputer yang baru dibina itu.

Kini, anda Berjaya memasang dan memiliki sistem pc peribadi yang menepati kehendak penggunaan tersendiri.

Hidupkan pc anda dan komputer baru itu pastinya akan memaparkan skrin penetapan BIOS apabila monitor pc mula mengesan kelengkapan yang sudah dipasang di dalamnya.

Pada peringkat ini, pemilik pc itu hanya perlu memastikan ketetapan pada sistem BIOS dilakukan dengan betul bagi memastikan komputer anda beroperasi seperti yang dikehendaki.

Meskipun perkakasan sudah ditempatkan di dalam ‘rumah’ komputer, anda perlu memasang secara berperingkat kelengkapan yang terdapat di dalamnya dengan menggunakan disket atau cd perkakasan yang disediakan.

Apabila aktiviti pengesanan perkakasan komputer itu sudah dilaksanakan, anda seharusnya pula mula memasang sistem operasi (OS) yang boleh didapati daripada pengedar pengeluar cakera keras atau dvd OS sah seperti Microsoft XP dan Vista.

Kaedah pemasangannya adalah mudah dengan anda hanya perlu memasukkan cd/dvd OS ke dalam ruangan pemacu cd/dvd-rom yang kemudian akan memberikan panduan langkah yang perlu diambil bagi pemasangan OS terbabit.

Perlu diingat, pemilihan OS yang menepati kemampuan pc adalah penting bagi memastikan ia beroperasi pada tahap prestasi maksimum.

Kini, anda sudah memiliki komputer peribadi sendiri dan pemasangan komponen atau aplikasi tambah nilai boleh dilakukan mengikut keperluan pengguna masing-masing.




Info: Langkah membina pc sendiri

Kumpulkan kelengkapan dan perkakasan yang diperlukan


Bersihkan casing pc

Pastikan unit bekalan tenaga dilengkapi bersama casing

Pasang papan induk pada casing

Pasang perkakasan seperti prosesor, memori, pemacu cakera keras, pemacu cd/dvd rom, kad grafik, kad bunyian dan modem pada papan induk

Tutup bahagian tepi casing

Sambungkan pada monitor, tetikus dan papan kekunci

Hidupkan pc dan semak perkakasan serta sistem yang sudah dipasang.

Masukkan (pasang) sistem operasi

Semakan terakhir dan hidupkan semula pc.

Harga komponen
Prosesor: RM110 hingga RM3800
Kad grafik: RM125 hingga RM2,900
Modem (dalaman, luaran dan USB): RM20 hingga RM1,099
Kad bunyian: RM65 hingga RM1,250
Tetikus: RM25 hingga RM219
Papan kekunci: RM39 hingga RM269
Monitor: RM215 hingga RM1,070

No comments: