Monday, August 20, 2007

Apakah itu spyware?




Bersesuaian dengan namanya spyware (spy + software) merupakan perisian komputer yang apabila berada di dalam PC anda, ia akan melaksanakan beberapa arahan seperti mengumpul pelbagai data dari komputer anda (dari cara penggunaan anda, minat anda sehinggalah kepada maklumat peribadi anda), menyiarkan iklan-iklan yang tidak dikehendaki malah mengubah konfigurasi komputer anda - dan semua ini dilakukan tanpa pengetahuan dan kebenaran anda!
Antara petanda komputer anda telah diserang spyware adalah seperti:1. Komputer anda dipenuhi pelbagai iklan – desktop anda penuh dengan pelbagai ikon yang menawarkan perkhidmatan, samada berbayar atau percuma; paparan pop-up iklan muncul secara tiba-tiba menyuruh anda membeli beberapa produk, seolah-olah anda melayari internet walaupun pada ketika itu kompuer anda tidak disambungkan ke internet; Start Menu anda juga dipenuhi dengan pelbagai shorcut ke laman web promosi pelbagai khidmat dan produk.
2. Perubahan ketara pada pelayar internet anda – Pelayar internet anda, terutamanya Internet Explorer (dan juga yang lain-lain seperti Netscape dan Firefox) dipenuhi dengan butang-butang yang tidak anda tidak pernah lihat sebelum ini, kebanyakannya berkaitan periklanan dan anda dapati amat sukar untuk menghilangkannya walaupun pelbagai setting telah diubah; Selain itu, segala konfigurasi pelayar anda telah berubah dengn sendirinya – setting laman ‘Home’ anda telah bertukar menjadi laman web lain yang tidak diketahui, walaupun anda telah menukar ‘setting’ home anda kepada alamat asal, namun ia tetap memaparkan laman web yang tidak diketahui itu; jika anda cuba ke laman ‘search engine’ seperti yahoo atau google, pelayar internet anda secara automaik membawa anda ke satu lagi laman ‘search engine’ lain (yang mungkin anda tidak langsung tahu mengenainya); anda juga mungkin gagal terus untuk megakses ke laman web popular seperti Yahoo!Mail, microsoft.com, google.com dan sebagainya.
3. Komputer anda menjadi lembap dan kerap ‘hang’ – Anda akan mendapati prestasi komputer anda semakin menurun; lampu merah LED pada mini tower anda berkelip-kelip tanpa henti walaupun tiada perisian atau program dijalankan; pelbagai perisian yang anda tidak pernah pasang/install secara tiba-tiba muncul dalam senarai program di komputer; dan komputer anda semakin kerap ‘hang’ dan terpaksa dihidupkan semula.
Ketiga-tiga simptom di ats menunjukkan kemungkinan besar komputer anda telah diserang spyware. Prestasi komputer anda menurun dan kerap hang kerana pada masa bekerja menggunakan komputer, spyware juga turut sama ‘bekerja’ di belakang tabir tanpa penegtahuan anda –mengumpul maklumat yang diperlukan dan dihantar ke pengkalan data pencipta spyware apabila anda menyambung komputer di internet. Kerja yang anda lakukan dan ditambah pula dengan ‘kerja oleh spyware’ memberi beban kepada memori dan kestabilan komputer anda apabila terlalu banyak proses dijalankan pada suatu masa. Akhirnya komputer anda menjadi seolah-olah lembap dan akhirnya ‘hang’. Spyware yang memaparkan iklan pada komputer anda dikenali juga sebagai ‘Adware’. Perisian spyware bertindak sendiri mengubah konfigurasi komputer anda agar anda terus ‘berhubung’ dengan penciptanya, seperti contoh tidak boleh akses ke laman web tertentu dan memaksa anda ke laman web yang dikehendaki pencipta spyware agar anda terus ‘berhubung’ dan ‘membekal sumber’ padanya. Malah ada spyware yang lebih ‘gangster’ memaksa anda membeli produk tertentu yang diiklankan atau tidak ia akan terus merosakkan sistem komputer anda. Baru-baru ini terdapat ancaman terbaru spyware yang menyamar sebagai perisian antispyware (antispyware ialah perisian untuk mencegah, menghalang dan membersih komputer dari ancaman spyware).
Tetapi, anda tidak perlu bimbang. Dengan mengenali ‘musuh’ utama komputer anda ini, anda mampu menghalangnya.
Langkah am mengatasi masalah Spyware

Dalam beberapa situasi, anda mungkin membenarkan spyware untuk memasuki ke sistem komputer anda tanpa disedari – contohnya, anda mungkin telah download games atau lagu secara percuma, masa pemasangan/install perisian terbabit, and tidak membaca ‘Terma dan Perjanjian’ yang mengatakan bahawa mereka memberi anda games atau lagu secara percuma, maka anda pula sebagai ganti haruslah membenarkan mereka memasang adware pada komputer anda (Seringkali orang ramai mengabaikannya kerana ia terlalu panjang untuk dibaca, dan ia disediakan dalam Bahasa Inggeris!). Walaupun spyware sebegini selalunya tidak merbahaya, tetapi kita tidak mahu mengambil risiko, maka: - “Baca dahulu terma dan perjanjian sebelum memasang apa-apa perisian atau lagu yang dipindah terima/download dari internet...!”
Tetapi, dalam sesetengah keadaan, spyware tetap dipasang ke komputer tanpa persetujuan anda – yakni walaupun ia tiada dinyatakan dalam ‘Terma dan Perjanjian’. Oleh itu:-
“Jangan download perisian percuma dari laman web yang mencurigakan...”
Selain melalui perisian yang dipindah terima, ada spyware yang terus menyerang sebaik sahaja anda memasuki lamaweb tersebut. Antara laman web yang berisiko tinggi untuk mempunyai spyware ‘bersembunyi’ dan menunggu mangsanya ialah:
1. Laman web yang menawarkan lagu (MP3 dan sebagainya) secara percuma2. Laman web lucah/pornografi3. Laman web yang menyediakan fail crack dan serial number untuk produk tanpa lesen sah.Seperti virus, spyware juga boleh dicegah, dikesan dan dihapuskan dengan bantuan perisian antispyware. Apa yang anda perlu lakukan untuk mendapatkan perisian spyware ini? Anda boleh download pelbagai perisian antispyware secara percuma di Internet. Antara perisian antspyware percuma yang popular ialah Microsoft AntiSpyware dan Adware SE. Klik di sini untuk pautan senarai perisian antispyware percuma yang anda boleh download. Setelah selesai download, maka pastikan:-
“..anda memasang perisian antispyware dan pastikan ia sentiasa memantau komputer anda.”
Biasakan diri untuk kerapkali mengimbas komputer anda dengan perisian antispyware. Selain perisian antispyware: -
“Tingkatkan keselamatan komputer anda dengan memasang Firewall.”
Perisian firewall amat penting bagi memastikan komputer anda tidak diceroboh oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab, sambil berpotensi menghalang virus daripada memasuki sistem komputer anda.
Jika anda menggunakan Windows XP dengan Service Pack 2, anda telah dilengkapi dengan Windows Firewall. Klik pada Control Panel > Windows Firewall. Pastikan ia berada pada status ON.
[NOTA: Sekiranya opsyen ini tiada pada Control Panel, maka windows anda tidak dilengkapi dengan Service Pack 2. Anda boleh mendapatkannya secara percuma dengan mengklik Start > All Programs > Windows Update]
Selain itu, terdapat juga beberapa perisian Firewall di pasaran, seperti McAfee Firewall. Spyware sebenarnya dapat menceroboh komputer anda dengan memanipulasi kelemahan yang terdapat pada pelayar internet dan sistem operasi (Contoh sistem operasi ialah WindowsXP) anda. Kelemahan-kelemahan ini akan dibaiki dari semasa ke semasa oleh microsoft. Maka bagi memastikan komputer anda tiada (atau kurang kelemahan) maka :-
“Sentiasa kemaskini/update Windows dan Internet Explorer anda..”
Pastikan komputer anda dikemaskini dari semasa ke semasa. Bagi pengguna Windows, biasakan diri anda untuk ke laman web “Microsoft Update”. Klik Start > All Programs > Windows Update untuk ke Windows Update, atau dari Internet Explorer versi 5 ke atas, piih opsyen Tools > Windows Update
“Tingkatkan keselamatan pelayar Internet anda!”
Anda boleh mengawal keselamatan komputer anda dengan mengubah konfigurasi pelayar Internet anda. Bagi pengguna Internet Explorer versi 6 ke atas, pilih opsyen Tools > Internet Option.
Pada tab Security, klik sekali pada ikon Internet.Kemudian, di ruangan “Security Level for this Zone”, gerakkan penanda aras kepada ‘Medium’ atau ke atas. Jika anda tidak dapat melihat penanda aras itu, klik pada butang “Costum Level...”. Kemudian pada bahagian Reset Costum Setting, pilih Medium atau ke atas dan pilih OK.
Pada tab Privacy, gerakkan penanda aras kepada ‘Medium’ atau ke atas.
Semakin tinggi tahap keselamatan, maka semakin selamat pelayar anda dari serangan spyware. Tetapi ingat, sesetengah laman web, terutamanya laman web e-mail memerlukan beberapa kebenaran akses kepada Cookies dan lain-lain lagi. Maka pilihan ‘Medium’ adalah digalakkan. Klik OK sekali lagi untuk menetapkan setting ini.
Akhir sekali: -
“Layarilah internet dengan bijak dan berhemah...”
Fikir dahulu sebelum download sesuatu perisian atau lain-lain fail percuma. Berhati-hati dengan tawaran iklan yang nampak menarik – kononnya anda telah memenangi sejumlah wang atau pakej percutian atau seumpamanya. Jika anda ingin download sesuatu, pastikan ia adalah dari laman web yang boleh dipercayai, atau jika anda ingin juga download sesuatu, tetapi anda tidak pasti sam ada ia selamat atau tidak, anda boleh membuat carian maklumat mengenainya di mana-mana enjin carian atau ke forum-forum berkaitan di internet.

No comments: