Wednesday, August 1, 2007

PC mestilah sesuai dengan keperluan



SERING kali orang bertanya mengenai komputer peribadi (PC) yang ‘bagaimanakah’ harus dimiliki, jenama ‘apakah’, harganya ‘berapa’, ‘di mana’ hendak dibeli dan pelbagai lagi soalan akan timbul apabila hendak membeli PC.Pada pendapat penulis, semua itu sebenarnya bergantung kepada keadaan yang ada antaranya boleh dijawab sendiri kerana faktor paling utama ialah bajet dan keperluan PC itu dalam penggunaannya.
PC paling sesuai untuk seseorang itu sebenarnya yang boleh membantu apa yang mereka hendak lakukan, sekali gus memenuhi keperluan dalam melakukan tugas seharian serta kehendak sosial mereka.Misalnya, seseorang yang lebih cenderung kepada tugasan grafik memerlukan PC yang lain keupayaannya dengan seseorang yang kerjanya hanya menulis atau seorang ahli ekonomi yang banyak bergelumang dengan pengiraan dan statistik.Sementara pelajar pula sudah tentu mempunyai keperluan yang berlainan atau mungkin keperluan yang bercampur mengikut kursus yang diambil.Pesta jualan PC dan pelbagai peralatan atau perisian yang berkaitan dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) anjuran Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom), akan berlangsung di beberapa bandar utama di seluruh negara mulai hujung minggu ini.Sebagaimana biasa, orang ramai akan berpusu-pusu berkunjung ke pesta seperti itu untuk mendapatkan keperluan perkakasan atau perisian, kerana tawaran harga berpatutan serta disediakan bermacam hadiah sampingan.Bagi jurujual yang sensitif dan jujur kepada pelanggan, biasanya mereka akan bertanya dulu kepada bakal pelanggan mengenai bajet dan keperluan, lalu mencadangkan sesuatu yang dijangka boleh memenuhi kehendak dan di dalam lingkungan bajet pelanggan.Jika dulu pengguna grafik akan memilih PC Apple Macintosh, tapi kini PC yang berasaskan Windows juga mempunyai keupayaan hampir serupa, manakala pengeluar PC Apple juga kini sudah beralih ke penggunaan cip pemproses dan set cip berasaskan Intel.Ia tidak menjadi soal kerana keupayaan yang hampir serupa, hanya reka bentuk membezakannya. Malah semua PC Apple yang dikeluarkan mulai bulan Mei 2007 boleh beroperasi di atas platform sistem operasi (OS) Windows.Ada kes di luar negara yang mana seorang pelajar membuat perbandingan di antara PC berjenama terkenal dengan Apple iMac yang lebih kurang sama pelarasannya. Kedua-duanya dioperasikan menggunakan platform OS Windows Vista.Kedua-dua PC itu mendapat keputusan yang baik selepas ujian Windows Experience Index iaitu satu ciri dalam Windows Vista, cuma iMac mencatat lebihan mata.Secara teorinya, jika anda lebih suka kepada PC Apple tapi masih cenderung kepada OS Windows, maka ia kini boleh digabungkan dan anda mendapat kedua-duanya. Tambahan daripada itu, anda juga boleh memasang kedua-dua OS di dalam satu PC kerana ada beberapa aplikasi perisian yang tidak menyokong OS Windows begitu juga sebaliknya.Jika difikirkan mengenai prestasi, selepas satu atau dua tahun psti kita akan merasakan PC yang ada itu sudah ketinggalan dan tidak setanding dengan yang baru. Biasanya PC mudah ditingkatkan keupayaannya kerana reka bentuk yang memudahkan komponennya dibuka dan dipasang, berbeza dengan PC Apple yang agak sukar dan biasanya terus terbina di dalam yang mana proses baik pulih atau tingkat upaya hanya boleh dilakukan oleh orang-orang Apple.Pesta PC Pikom pertama akan berlangsung Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai Jumaat hingga Ahad ini. Jika anda seorang yang tidak banyak pengalaman sama ada dalam penggunaan perkomputeran Mac atau Windows, adalah lebih baik dicuba kedua-duanya.Bandingkan pengalaman menggunakannya. Lebih baik lagi jika dilakukan bersebelahan. Papan kekunci PC Apple biasanya kecil sedikit berbanding PC biasa. Begitu juga dengan skrin dan berat (bagi PC notebook) yang bersesuaian dengan cara kerja anda. Jika banyak berjalan, anda perlukan notebook yang ringan. Tapi ingat! Jangan mudah terpedaya kerana ada sesetengah penjual yang mengeluarkan bateri notebook dan ia akan menjadi lebih ringan sedangkan lebih berat jika bateri itu dipasang.Mengenai OS pula, ada penjual yang memberi pilihan kepada pembeli sama ada Windows Vista atau Windows XP (PC bukan Apple). Namun kebanyakan pengeluar sekarang menawarkan Windows Vista kerana ia memang yang terbaru yang didakwa mempunyai banyak kelebihan berbanding XP.Banyak pendapat mengatakan Vista masih terlalu baru dan ada beberapa komponen tambahan seperti kad grafik berkeupayaan tinggi tidak mempunyai perisian pemacu yang menyokong Vista. Penulis juga pernah mengalami keadaan yang mana fail MPEG4 tidak boleh dimainkan di dalam program Windows Media Player kerana dikatakan tidak ada kodek yang menyokong fail itu di dalam Vista. Walaupun sudah dicari di laman web Microsoft, tapi masih tidak berjumpa dan tidak disokong.Windows XP ketika ini dianggap paling stabil dan mudah digunakan.Namun begitu, ia masih terpulang kepada pembeli. Walaupun Vista masih baru, tapi dunia perkomputeran sekarang semestinya menuju ke arah sesuatu yang baru juga. Lama kelamaan ia pasti menyokong semua faktor tingkat upaya dan perisian pemacu.Fikirkan juga, jika anda membeli dengan OS Windows XP sekarang dan menjangka akan bertukar kepada Windows Vista pada masa depan, sudah tentu tidak kos efektif kerana sekali lagi belanja perlu dikeluarkan. Harga bagi OS Vista pun boleh tahan mahalnya. Jika tidak mahu berbelanja dua kali, elok teruskan dengan OS Vista iaitu OS untuk terbaru untuk sekarang dan masa depan.Sekiranya anda berada dalam dilema untuk membeli sama ada PC desktop atau notebook, sebenarnya ia bergantung kepada keperluan.PC dekstop untuk kegunaan kekal di satu tempat, sedangkan notebook boleh dibawa ke mana saja, sedangkan keupayaannya hampir serupa. Perbezaan ketara ialah saiz unit pemprosesan pusat (CPU) dan skrin. Mungkin desktop ada skrin yang jauh lebih besar.Satu lagi perbezaan ketara ialah harga. Jadi, fikirkan juga bajet.Sesudah menimbangkan untuk membeli PC Windows atau PC Apple, OS Windows atau OS Apple Macintosh, OS Windows Vista atau Windows XP, PC desktop atau PC notebook, barulah difikirkan mengenai yang lain-lain terutamanya dari segi komponen teknikal.Cip pemproses dianggap sebagai jantung iaitu organ paling penting di dalam badan manusia. Kini, cip keluaran Intel atau AMD sudah sampai ke tahap empat teras, tapi harganya masih tinggi. Dua teras (dual core) kian mendapat tempat di kalangan pengguna.Dulu orang sering menganggap kelajuan cip pemproses yang menentukan keupayaan sesebuah PC itu. Namun, keadaan teknologi yang ada sekarang sudah berubah dan beberapa aspek lain perlu difikirkan juga kerana ia juga mempengaruhi keupayaan PC. Bas hadapan atau Front Side Bus (FSB) adalah salah satu faktor yang turut mempengeruhi kelajuan PC. Lebih besar nombor FSB itu, maka lebih laju PC anda beroperasi. FSB itu bertindak seperti saluran paip air, lebih besar paip itu maka lebih banyak air boleh mengalir.Kemudiannya barulah dilihat memori capaian rawak (RAM). Ia juga menentukan kelajuan PC. Jika memilih untuk membeli PC dengan OS Windows Vista, dinasihatkan agar mendapatkan PC yang dilengkapi RAM sekurang-kurangnya 1 Gigabait.Kemudian itu barulah dipertimbangkan mengenai cakera keras dan ia juga bergantung kepada keperluan. Fail muzik, video, imej atau grafik biasanya besar. Adalah lebih baik jika memiliki sebuah cakera keras berkapasiti besar agar tidak mendatangkan masalah dalam masa terdekat. Tapi cakera keras mudah ditambah bagi PC desktop.Banyak PC dipasarkan dengan pemacu cakera CD/DVD yang membolehkan kita menulis dan membaca CD dan membaca DVD. Lebih baik sekiranya pemacu itu ditingkatkan kepada pemacu yang boleh membar atau menulis DVD kerana kapasitinya yang lebih besar iaitu sehingga 4.5GB berbanding 800MB bagi sekeping CD.Selepas mengambil keputusan untuk membeli PC, biasanya jurujual akan mencadangkan beberapa perkakasan aksesori atau pelengkap seperti pencetak, pengimbas, kamera digital dan sebagainya.Pencetak adalah gandingan paling secocok dengan PC kerana setiap apa yang kerjakan di dalam PC biasanya perlu dicetak. Maka, jika ada bajet lebih, bolehlah difikirkan untuk membeli pencetak, harganya pun amat berpatutan bagi sebuah pencetak berkeupayaan rendah atau pertengahan.Lebih-lebih lagi pencetak foto semakin banyak diperkenalkan kerana jumlah penggunaan kamera digital kian pesat dan mudah digunakan. Tidak perlu lagi ke kedai untuk mencuci foto kerana ia boleh dilakukan di rumah.Perisian untuk produktiviti seperti Microsoft Office yang terdiri dari pemproses perkataan, helaian elektronik, pangkalan data, persembahan dan sebagainya. Semua penting dalam tugasan harian. Bagi pengguna grafik mungkin memerlukan aplikasi perisian seperti Adobe. Tapi harganya boleh tahan juga.Satu lagi yang penting ialah perisian keselamatan untuk melindungi PC dari ancaman virus atau penggodam. Ia menjadi lebih kritikal sekiranya banyak menggunakan perkhidmatan Internet, e-mel atau medium simpanan data luaran.Pengguna dinasihatkan berbelanja sedikit untuk membeli perisian keselamatan itu bagi mengelakkan belanja lebih besar selepas diserang. Data-data yang ada itu lebih berharga.

No comments: